Maklumat di sini juga boleh dijadikan sumber rujukan untuk anak rantau kampung ini yang tinggal di perantauan supaya hubungan dengan keluarga tidak terputus. Sila gunakan ruang catatan sekiranya ada sesuatu yang hendak dihebahkan dan juga sebagai ruangan chatting sesama sendiri dan rakan. Segala pandangan akan diambil kira oleh kami dalam membangunkan kampung ini.
Sila lawati blog ini untuk mendapatkan maklumat terkini.
Sebarang cadangan email ke: kgtelukbatu@gmail.com
Wednesday, December 23, 2009
KEMALANGAN LAGI
Wednesday, December 9, 2009
KENDURI KAHWIN LAGI
Kita mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga berbahagia hingga ke akhir hayat.
Tuesday, December 8, 2009
KEMALANGAN
Dimaklumkan juga jambatan Kg Baru telah runtuh akibat banjir dan laluan telah ditutup. Ketua Kampung telah meletakkan tanda penghadang dlln tetapi akibat perbuatan pihak yg tidak bertanggung jawab, masih ada orang yang menggunakannya. Kelmarin seorang penunggang motosikal telah terjatuh dan dimasukkan ke hospital.
Monday, December 7, 2009
SELAMAT PENGANTIN BARU
Kami mengucapkan selamat pengantin baru kepada Sdr Irwan dan Sdr Shahir, anak kepada En Abd Rashid dan Pn Zaleha yang telah melangsungkan perkahwinan mereka di Kg Teluk Batu pada 6.12.09. Majlis berjalan dengan penuh kemeriahan dan berjaya dengan bantuan dan kerjasama seluruh penduduk kampung. Makanan disediakan secara bergotong royong dan dihidang secara buffet. Cuaca pada hari tersebut sungguh baik. Segalanya berjalan dengan lancar. Kami mendoakan kedua-dua pasangan akan berbahagia hingga ke akhir hayat.
Thursday, November 26, 2009
KORBAN
Kerbau yang akan dikorbankan diikat di pangkal pokok. Mungkin dia mengenangkan nasibnya yang akan dijadikan korban dan bangga dengan dirinya yang terpilih sebagai korban ibadah.
Beramai-ramai menarik tali untuk mempastikan kerbau tumbang supaya senang untuk disembelih. Sepenuh tenaga dikeluarkan - 8 lawan 1
Setelah tumbang, keadaan kerbau diperiksa supaya segala ikatan kukuh dan kerbau tidak dapat melepaskan dirinya. Kalau tidak - susah pula jadinya.
Kanak-kanak berkerumun melihat majlis korban. Tradisi ini akan disambungkan oleh mereka pula apabila mereka dewasa.
(Admin tak sampai hati nak ambil gambar kerbau semasa disembelih )
SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
Saturday, November 21, 2009
KERJASAMA
Semangat gotong royong masih tebal di kalangan penduduk Kg Teluk Batu. Apabila diadakan kenduri perkahwinan, seluruh anggota kampung termasuk yang berdekatan akan datang beramai-ramai memberi bantuan mendirikan balai menghidang, tempat masak, khemah tetamu dan lain2.
Setelah selesai kerja, biasanya tuan kenduri akan menyediakan sedikit jamuan ringan untuk dinikmati bersama. Masa itulah kemesraan terjalin antara satu sama lain - usik mengusik, sindir-menyindir dlln sambil disambut dengan gelak ketawa kemesraan.
Friday, November 20, 2009
GOTONG ROYONG
2. Esok , pagi Ahad, gotong royong membersihkan tanah perkuburan Kg Teluk Batu.
3. Untuk info, saya dimaklumkan ada 4 korban akan dijalankan di Kg Teluk Batu sempena Hari Raya Haji tahun ini iaitu Tok Imam Ahmad, Pakcu Taib, Afifi Ustaz Bakar dan En Basri Hj Yaakob.
Sunday, November 15, 2009
TANAH REBAK
Kesan hujan lebat juga melibatkan Kampung Bukit. Tanah rebak di tepi jalan berhampiran rumah Sdr Zamin Ustaz Man. Dikhuatiri hujan lebat yang berterusan akan menyebabkan berlakunya tanah runtuh lagi.
Selain itu, jambatan di Kampung Tengah juga tidak boleh dilalui kerana tanah runtuh. Usaha sedang dijalankan untuk membaiki keadaan.
BANJIR
Rumah Pn Rosmaizar dan Bantuan Dari Ahli Parlimen
Surau Taman K.Tampan dan Pejabat Penghulu Durian Pipit
Seperti yang diumumkan dalam akhbar, kawasan Lenggong telah dilanda banjir kilat baru-baru ini. Mat Terang Bulan dalam komennya bertanya "admin tidur nyenyak ke?" Sebenarnya tidak. Pada masa itu saya berada di Kuala Lumpur selama 3 hari. Jadi tak dapatlah saya hendak melaporkannya.
Walau bagaimanapun pada hari ini saya telah bersama-sama menjalankan gotong royong di sekitar kawasan Kota Tampan, yang dianjurkan oleh ahli parlimen Lenggong. Untuk makluman, para belia kita di bawah pimpinan En Abd Majid telah beberapa hari bertungkus lumus di kawasan tersebut untuk memberi bantuan sama ada membersihkan kawasan atau menyampaikan bahan makanan. Syabas diucapkan kepada mereka. Mat Terang Bulan tak nak balik ke ? Boleh juga memberi sedikit bantuan kepada mangsa.
Selepas ini mereka akan bergerak pula ke kawasan lain yang dilanda banjir seperti Kg Sumpitan, Gelok, Kg Sira, Banggol Belimbing dan Banggol Batu.
Untuk makluman, jalan lama dari MRSM ke Kg Chain telah ditutup kerana beberapa jambatan telah runtuh dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan berat. Sesiapa yang hendak ke Lenggong dinasihatkan supaya menggunakan jalan baru.
Petang ini hujan turun dengan agak lebat. Kita khuatir akan menyebabkan banjir lagi. Sama-samalah kita berdoa agar ianya tidak terjadi.
Monday, November 9, 2009
KENDURI KAHWIN
Thursday, November 5, 2009
NYAMUK DENGGI
Walaupun saya merayu supaya seluruh kampung disembur tetapi telah ditolak kerana arahan jabatan kesihatan adalah 200 meter sekeliling rumah suspek sahaja. Terfikir pula, apa jadi dengan nyamuk yang telah dapat keluar dari lingkungan 200 meter tersebut. Jadi kena tunggulah sehingga ada mangsa lain barulah semburan akan dilakukan pula. Mengapa tidak mencegah sebelum terkena? Itu persoalan bermain dalam kepala saya.
Difahamkan juga nyamuk yang menyebabkan penyakit untut kaki telah mula dikesan di kawasan Lenggong, Kita berharap ia tidak menapak di Kg Teluk Batu. Diharap penduduk kampung akan bersama-sama membersihkan keliling rumah masing-masing supaya nyamuk tidak dapat membiak.
Wednesday, November 4, 2009
MASUK HOSPITAL
Turut sama dimasukkan ke wad tersebut juga adalah Sdr Saiful Azudin (Anak Nan Nali) kerana masalah diabetik. Beliau telah berada di sana selama 4 hari.
Sama-sama kita mendoakan mereka kembali sihat.
Thursday, October 22, 2009
KEMALANGAN NGERI
Satu kemalangan ngeri telah berlaku di simpang empat berhampiran Jambatan Raja Nazrin, petang tadi. Dua buah kereta telah berlanggar dan terbakar. Cikgu Meor Mahmud, yang berasal dari Kota Tampan, memandu van Rusa meninggal di tempat kejadian. Sementara tiga sekeluarga dalam sebuah Mercedes terselamat.
Sama-samalah kita berdoa meminta Allah meletakkan roh allahyarham Cikgu Meor Mahmud di samping orang-orang yang beriman. Alfatihah.
Pesanan kepada semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut, silalah berhati-hati kerana di kawasan itu kerap berlaku kemalangan maut. Pihak berkuasa diharap dapat meletakkan lampu isyarat tukar ganti untuk mengurangkan kemalangan.
Saturday, October 10, 2009
BANJIR DI PEKAN LENGGONG
Pada hari Sabtu 11.10.09 hujan telah turun dengan lebatnya. Banjir kilat berlaku di pekan Lenggong tetapi tidak melibatkan Kg Teluk Batu. Alhamdulillah kita ucapkan kerana penduduk kampung terlepas dari bencana ini. Walau bagaimanapun banjir telah surut pada sebelah malam. Pagi ini (Ahad) aktiviti pekan Lenggong berjalan seperti biasa.
Friday, October 2, 2009
PROJEK KAMPUNG
1. Menurap jalan di Kg Tengah dan Bukit Jerlun (Telah siap)
2. Menurap jalan Kg Hilir dan Labit (Telah siap)
3. Tambahan bilik darjah bangunan SAR Ihsaniah (hampir siap)
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberikan kerjasama dan perihatin ke atas permohonan kami untuk pembangunan kampung ini.
JALAN PERTANIAN
Pengusaha sawah Kg Teluk Batu amat bertuah kerana kerajaan telah membekalkan jalan pertanian melalui tengah sawah untuk memudahkan mereka mengusaha dan mengeluarkan hasil sawah.
Difahamkan sawah di kawasan ini seluas lebih kurang 70 ekar akan diusahakan oleh pemaju dari Kuala Kangsar secara kontrak selama 5 tahun. Namun ini tidak bermakna penduduk tempatan tidak akan mengusahakan sawah mereka sendiri. Sawah yang dikontrakkan itu adalah kawasan sawah yang telah tidak diusahakan sekian lama. Ini bermakna kawasan sawah yang lebih luas akan diusahakan dan tidak ada lagi sawah yang terbiar di kampung ini.
Diharapkan Kg Teluk Batu akan menjadi pembekal padi/beras terbesar di kawasan ini.
Sunday, September 27, 2009
TAKZIAH
28.9.09 (Isnin) - Allahyarham En Hashim (Ayah Sharifah/Arshad) telah meninggal dunia di Kg Teluk Batu pada pagi ini dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kg Teluk Batu selepas zohor pada hari ni. Kebetulan baru kelmarin allahyarham menyaksikan majlis pertunangan cucunya yang pertama.
Kami mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan di samping orang-orang yang beriman.
Tuesday, September 22, 2009
SELAMAT BERTUNANG & BERKAHWIN
Paa hari raya kedua, satu majlis pertunangan telah diadakan antara En (Cikgu) Alias b Jusoh dengan Cik Jamilah bt Jalil. Kami mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai. Difahamkan majlis perkahwinan akan diadakan pada bulan Disember depan. Semoga perhubungan ini akan dirahmati Allah hendaknya.
Pada hari yang sama, satu kenduri akekah juga telah diadakan untuk cucu Tn Imam Ahmad. Selain dari kaum keluarga, jemputan telah dihulurkan kepada sahabat handai.
Pada 26.9.09 (Sabtu) ini pula, akan berlangsung majlis perkahwinan anak En Zakaria Ariffin. Kami mengucapkan selamat pengantin baru.
Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada En Zakaria Ariffin sendiri yang telah melangsungkan perkahwinan dengan Pn (Cikgu) Rahmah Che Teh sebelum bulan puasa yang lalu. Kami mendoakan semoga hubungan ini akan berbahagia hingga ke akhir hayat.
Friday, September 18, 2009
SELAMAT KEMBALI
Kami mengucapkan terima kasih di atas usaha sambutan yang disediakan oleh para belia terhadap rakan-rakan dan warga perantau yang kembali berhari raya di kampung.
Kami berharap setiap pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati agar perjalanan mereka tidak mendapat halangan. Mereka juga didoakan agar tiba di destinasi dengan selamat.
BUBUR LAMBUK
Kami mengucapkan terima kasih kepada kpd Sdr Hafifi dan Sufian yang telah mengedarkannya dari rumah ke rumah. Terima kasih daun keladi.
Monday, September 7, 2009
Wednesday, September 2, 2009
PAKLONG YANG GIGIH
Paklong Hj Ahmad yang berusia dalam lingkungan 80 an, merupakan warga yang paling tua di Kg Teluk Batu. Namun dia tidak membiarkan usia tuanya itu menjadi bebanan kepada orang lain. Walaupun sering dilarang oleh anak-anak namun ia tidak mempedulikannya.
“Anak-anak tak bagi paklong menoreh. Tapi paklong bukan apa, kalau tak kerja, badan rasa nak demam aje”, kata Paklong. “Tapi mengutip dan hantar ke kedai paklong minta tolong anak buah. Paklong tak larat dah”.
Setiap hari beliau menunggang basikal sejauh 1 km untuk menoreh getah di kebunnya seluas 1 ekar. Kebun getahnya sentiasa kelihatan bersih dan cerah. Ini juga merupakan satu langkah keselamatan dari gangguan binatang buas.
Kegigihan Paklong seharusnya menjadi contoh kepada kita untuk menyara diri dan tidak terlalu berharap kepada orang lain. Selain dari mengekalkan kesihatan yang sempurna, boleh juga menambah pendapatan sara hidup. Malahan dalam bulan Ramadan pun beliau bekerja.
Beliau bersyukur kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Lenggong yang baru-baru ini telah memberinya sedikit perbelanjaan untuk bulan Ramadan. Beliau bersyukur di atas keperihatinan pemimpin terhadap masalah rakyat masa kini.
Monday, August 17, 2009
SAR DIBESARKAN
SAR Kg Teluk Batu adalah sebuah sekolah yang popular dan diminati ramai. Terdapat kanak-kanak bukan sahaja dari kampung ini, malah dari luar dihantar belajar di sini. Setiap petang suasana kampung menjadi sibuk dengan kenderaan ibubapa datang mengambil anak-anak mereka pulang.
Sunday, August 16, 2009
USAHAWAN BERJAYA
Dari seorang peruncit kecilan, kini jualan gas hariannya sudah mencecah 100 tong sehari. Beliau telah berusaha untuk mendapatkan taraf pengedar dan permohonannya sudah dimajukan kepada pihak yang berwajib. Jika diluluskan, beliau akan melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh Daerah Hulu Perak. Kami berasa bangga di atas usahanya ini kerana inilah satu-satunya perusahaan yang diusahakan oleh orang Melayu.
Belau merupakan anak Allahyarham Tn Hj Mat Abas Hj Husin, bekas ketua kampung yang dikenali ramai. Semasa allahyarham menjadi ketua kampung, Kg Teluk Batu telah menjadi kampung contoh sebanyak dua kali. Ramai orng luar telah datang untuk melawat kampung ini pada masa itu. Kini anaknya pula muncul sebagai pengusaha yang berjaya dan juga merupakan Ketua Umno Cawangan yang aktif semenjak 10 tahun yang lalu. Syabas kami ucapkan.
PROJEK TERNAKAN KAMBING
Kini terdapat sekumpulan belia dan orang dewasa yang menjalankan 7 projek ternakan kambing. Jumlah keseluruhan peliharaan sudah mencecah hampir 500 ekor. Usaha sedang dibuat untuk menambahkan lagi jumlah ternakan dengan meminta bantuan daripada pihak kerajaan terutamanya RISDA. Permohonan telah dimajukan dan dalam perhatian dan tindakan pihak tersebut.
Azlan bersama Hazamuddin dan Zulkifli telah bersatu tenaga memulakan ternakan dengan membeli beberapa ekor kambing dan diusahakan di atas tanah keluarga semenjak 1 tahun yang lalu. Mereka bermula dengan modal lebih kurang RM2 ribu dan kini memiliki hampir 30 ekor ternakan dari kacukan Aglu Nubian. Mereka mengagihkan masa sebelah pagi untuk menorah getah dan sebelah petangnya memelihara kambing.
“Usaha ini dapat mengisi masa lapang dan pendapatan sampingan serta menghindarkan kami dari membuang masa secara tidak menentu. Kami bercadang untuk membesarkan lagi perusahaan ternakan kami ini” kata mereka. Kini kambing mereka yang terbesar adalah 36 kg tetapi masih belum sesuai untuk dijual.
Kambing sudah menjadi manja dengan tuannya yang setiap hari mendampingi mereka hingga boleh didukung.
Beberapa kandang ternakan oleh pengusaha.
Saturday, August 8, 2009
TAKZIAH DARI PENDUDUK KG TELUK BATU
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata ketika kejadian kereta dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan ke Seri Manjung untuk pulang ke rumah mereka di Desa Manjung Point Lumut di sini.
"Ahmad Hasbullah dikatakan mengambil anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Syeikh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas sekolah itu ditutup kerana jangkitan H1N1.
"Ketika perjalanan pulang, kereta dinaiki dua beranak itu bertembung dengan sebuah lori tangki menyebabkan mangsa tersepit dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat dari Pantai Remis," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat, manakala pemandu lori yang berumur 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Jenazah kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Irfan Ahmad Hasbullah, 15, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, berkata dia tidak menyangka akan kehilangan dua insan tersayang serentak, lebih-lebih lagi akan menghadapi ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan. Katanya, bapanya sebelum ini bekerja sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Manjung dan pada Jun lalu dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti di Taiping.
(BERITA HARIAN)
Seluruh penduduk Kg Teluk Batu (Kampung asal Allahyarham) mengucapkan takziah kepada keluarganya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh kedua-duanya. Alfatihah.
Monday, July 13, 2009
KEAGAMAAN
Aktiviti keagamaan juga kerap diadakan sebagai pengisian rohaniah kepada penduduk. Setiap malam Jumaat diadakan bacaan Yasin dan tahlil di surau. Di samping itu, hari kebesaran agama juga turut diraikan seperti Maal Hijrah, Maulidurasul dlln.
Kelas pengajian agama juga turut diadakan dari semasa ke semasa. Penglibatan semua golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak dapat diwujudkan. Secara tidak langsung, tali persaudaraaan dapat dieratkan.
Terdapat juga sebuah Sekolah Agama Rakyat di sini.
Mesyuarat/perbincangan kadang-kadang diadakan secara tidak formal. Di sini kami berbincang di bawah rumah Arwah Tn Hj Ismail. Yang pentingnya bukan tempat tetapi kerja harus dilaksanakan.
Tanahperkuburan kampung sentiasa bersih dengan adanya aktiviti gotong royong oleh penduduk kampung. Kami cuba wujudkan suasana tidak mengeruni tanah kubur ketika melintasinya terutamanya pada waktu malam.
KAUM WANITA & KANAK-KANAK
Wanita juga tidak ketinggalan dalam memajukan kampung. Mereka juga turut memberi sumbangan terutama dalam majlis kenduri dan perhimpunan. Pada masa itu kedengaranlah gelak ketawa, usik-mengusik terutamanya terhadap orang yang latah. Dengan ini kerja yang berat menjadi ringan.
Aktiviti berkaitan wanita juga kerap diadakan untuk meningkatkan pengurusan rumah tangga. Pada hari tersebut pelbagai kemahiran ditunjukkan - masakan, gubahan, lipatan dlln. Hadiah turut disediakan oleh pihak penganjur.
Pertandingan mewarna untuk kanak-kanak juga kerap diadakan sempena aktiviti untuk wanita. Ini membolehkan kanak-kanak juga turut serta. Sikap bekerjasama dapat dipupuk ketika mereka masih kecil. Hadiah juga diberi sebagai galakan. Tetapi kadang-kadang si ibu pula yang menyebuk hendak mewarna. Lain kali kita adakan untuk kaum ibu pula.
BELIA
Di setiap kampung kini, golongan belia melebihi orang dewasa. Pelbagai aktiviti disediakan untuk mereka untuk mengisi masa lapang daripada terbuang begitu sahaja.
Pertandingan sepak takraw juga tidak ketinggalan.
Ahli Parlimen Lenggong, YB Dato Shamsul Anuar Nasarah sedang menyampaikan bantuan kepada En Abd Majid untuk kegunaan para belia dan pemuda. Segala pengurusan dapat dijayakan dengan adanya sokongan yang padu daripada beliau. Kami mengucapkan ribuan terima kasih.
Para belia sedang mendengar dengan khusyuk pandangan yang diberikan oleh pemimpin. Mungkin dari wajah-wajah ini akan lahir pemimpin negara masa hadapan.