Selamat datang ke blog Kampung Teluk Batu, Lenggong, Perak. Ini merupakan satu usaha kami untuk meletakkan kamung ini ke dalam peta dunia, bersesuaian dengan era globalisasi.

Maklumat di sini juga boleh dijadikan sumber rujukan untuk anak rantau kampung ini yang tinggal di perantauan supaya hubungan dengan keluarga tidak terputus. Sila gunakan ruang catatan sekiranya ada sesuatu yang hendak dihebahkan dan juga sebagai ruangan chatting sesama sendiri dan rakan. Segala pandangan akan diambil kira oleh kami dalam membangunkan kampung ini.

Sila lawati blog ini untuk mendapatkan maklumat terkini.

Sebarang cadangan email ke: kgtelukbatu@gmail.com

Thursday, October 22, 2009

KEMALANGAN NGERI



Satu kemalangan ngeri telah berlaku di simpang empat berhampiran Jambatan Raja Nazrin, petang tadi. Dua buah kereta telah berlanggar dan terbakar. Cikgu Meor Mahmud, yang berasal dari Kota Tampan, memandu van Rusa meninggal di tempat kejadian. Sementara tiga sekeluarga dalam sebuah Mercedes terselamat.

Sama-samalah kita berdoa meminta Allah meletakkan roh allahyarham Cikgu Meor Mahmud di samping orang-orang yang beriman. Alfatihah.

Pesanan kepada semua pemandu yang menggunakan laluan tersebut, silalah berhati-hati kerana di kawasan itu kerap berlaku kemalangan maut. Pihak berkuasa diharap dapat meletakkan lampu isyarat tukar ganti untuk mengurangkan kemalangan.

Saturday, October 10, 2009

BANJIR DI PEKAN LENGGONG


Pada hari Sabtu 11.10.09 hujan telah turun dengan lebatnya. Banjir kilat berlaku di pekan Lenggong tetapi tidak melibatkan Kg Teluk Batu. Alhamdulillah kita ucapkan kerana penduduk kampung terlepas dari bencana ini. Walau bagaimanapun banjir telah surut pada sebelah malam. Pagi ini (Ahad) aktiviti pekan Lenggong berjalan seperti biasa.

Friday, October 2, 2009

PROJEK KAMPUNG

Antara projek yang telah dijalankan di kampung ini adalah :

1. Menurap jalan di Kg Tengah dan Bukit Jerlun (Telah siap)
2. Menurap jalan Kg Hilir dan Labit (Telah siap)
3. Tambahan bilik darjah bangunan SAR Ihsaniah (hampir siap)

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberikan kerjasama dan perihatin ke atas permohonan kami untuk pembangunan kampung ini.

JALAN PERTANIAN


Pengusaha sawah Kg Teluk Batu amat bertuah kerana kerajaan telah membekalkan jalan pertanian melalui tengah sawah untuk memudahkan mereka mengusaha dan mengeluarkan hasil sawah.

Difahamkan sawah di kawasan ini seluas lebih kurang 70 ekar akan diusahakan oleh pemaju dari Kuala Kangsar secara kontrak selama 5 tahun. Namun ini tidak bermakna penduduk tempatan tidak akan mengusahakan sawah mereka sendiri. Sawah yang dikontrakkan itu adalah kawasan sawah yang telah tidak diusahakan sekian lama. Ini bermakna kawasan sawah yang lebih luas akan diusahakan dan tidak ada lagi sawah yang terbiar di kampung ini.


Diharapkan Kg Teluk Batu akan menjadi pembekal padi/beras terbesar di kawasan ini.

Sunday, September 27, 2009

TAKZIAH

27.9.09 (Ahad) - Allahyarham En Saidin (suami Pn Halijah - anak Tok Derani) meninggal dunia di Taman Kelebang Ipoh dan telah selamat dikebumikan.

28.9.09 (Isnin) - Allahyarham En Hashim (Ayah Sharifah/Arshad) telah meninggal dunia di Kg Teluk Batu pada pagi ini dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kg Teluk Batu selepas zohor pada hari ni. Kebetulan baru kelmarin allahyarham menyaksikan majlis pertunangan cucunya yang pertama.

Kami mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan di samping orang-orang yang beriman.

Tuesday, September 22, 2009

SELAMAT BERTUNANG & BERKAHWIN

Suasana hari raya di kampung ini sungguh meriah. Kanak-kanak terutamanya kelihatan sungguh gembira - berpakaian serba baru dan berkunjung dari rumah ke rumah. Masing-masing membanding berapa 'angpau' yang mereka terima. Keadaan kampung menjadi sesak dengan kenderaan penduduk yang pulang dari perantauan. Percikan bunga api dan letupan mercun menggamatkan suasana setiap malam. Ternyata masyarakat kita ramai yang hidup dalam 'kemewahan' kerana berupaya berbelanja besar untuk membeli mercun dan bunga api yang agak mahal juga harganya.

Paa hari raya kedua, satu majlis pertunangan telah diadakan antara En (Cikgu) Alias b Jusoh dengan Cik Jamilah bt Jalil. Kami mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai. Difahamkan majlis perkahwinan akan diadakan pada bulan Disember depan. Semoga perhubungan ini akan dirahmati Allah hendaknya.

Pada hari yang sama, satu kenduri akekah juga telah diadakan untuk cucu Tn Imam Ahmad. Selain dari kaum keluarga, jemputan telah dihulurkan kepada sahabat handai.

Pada 26.9.09 (Sabtu) ini pula, akan berlangsung majlis perkahwinan anak En Zakaria Ariffin. Kami mengucapkan selamat pengantin baru.

Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada En Zakaria Ariffin sendiri yang telah melangsungkan perkahwinan dengan Pn (Cikgu) Rahmah Che Teh sebelum bulan puasa yang lalu. Kami mendoakan semoga hubungan ini akan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Friday, September 18, 2009

SELAMAT KEMBALI

Sebuah pintu gerbang telah didirikan atas inisiatif para belia Kg Teluk Batu untuk menyambut anak-anak kampung ini yang mula pulang dari perantauan. Setiap kali Hari Raya, kawasan kampung menjadi 'jam' dengan pelbagai jenis kenderaan. Surau juga menjadi sesak.
Kami mengucapkan terima kasih di atas usaha sambutan yang disediakan oleh para belia terhadap rakan-rakan dan warga perantau yang kembali berhari raya di kampung.
Kami berharap setiap pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati agar perjalanan mereka tidak mendapat halangan. Mereka juga didoakan agar tiba di destinasi dengan selamat.

BUBUR LAMBUK

Hari ini penduduk Kg Teluk Batu mula merasa bubur lambuk yang diedarkan oleh keluarga Allahyarham Ustaz Abu Bakar, seorang guru agama dan bekas imam. Rasanya inilah pertama kali pengedaran bubur lambuk yang sinonim dengan Masjid Kg Baru K.Lumpur, mula memasuki Kg Teluk Batu. Harap-harap budaya ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang setiap kali Ramadan. Tak sempat rasanya nak menunggu waktu berbuka untuk menikmati bubur tersebut.
Kami mengucapkan terima kasih kepada kpd Sdr Hafifi dan Sufian yang telah mengedarkannya dari rumah ke rumah. Terima kasih daun keladi.

Wednesday, September 2, 2009

PAKLONG YANG GIGIH

Paklong Hj Ahmad yang berusia dalam lingkungan 80 an, merupakan warga yang paling tua di Kg Teluk Batu. Namun dia tidak membiarkan usia tuanya itu menjadi bebanan kepada orang lain. Walaupun sering dilarang oleh anak-anak namun ia tidak mempedulikannya.

“Anak-anak tak bagi paklong menoreh. Tapi paklong bukan apa, kalau tak kerja, badan rasa nak demam aje”, kata Paklong. “Tapi mengutip dan hantar ke kedai paklong minta tolong anak buah. Paklong tak larat dah”.

Setiap hari beliau menunggang basikal sejauh 1 km untuk menoreh getah di kebunnya seluas 1 ekar. Kebun getahnya sentiasa kelihatan bersih dan cerah. Ini juga merupakan satu langkah keselamatan dari gangguan binatang buas.

Kegigihan Paklong seharusnya menjadi contoh kepada kita untuk menyara diri dan tidak terlalu berharap kepada orang lain. Selain dari mengekalkan kesihatan yang sempurna, boleh juga menambah pendapatan sara hidup. Malahan dalam bulan Ramadan pun beliau bekerja.

Beliau bersyukur kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Lenggong yang baru-baru ini telah memberinya sedikit perbelanjaan untuk bulan Ramadan. Beliau bersyukur di atas keperihatinan pemimpin terhadap masalah rakyat masa kini.