Selamat datang ke blog Kampung Teluk Batu, Lenggong, Perak. Ini merupakan satu usaha kami untuk meletakkan kamung ini ke dalam peta dunia, bersesuaian dengan era globalisasi.

Maklumat di sini juga boleh dijadikan sumber rujukan untuk anak rantau kampung ini yang tinggal di perantauan supaya hubungan dengan keluarga tidak terputus. Sila gunakan ruang catatan sekiranya ada sesuatu yang hendak dihebahkan dan juga sebagai ruangan chatting sesama sendiri dan rakan. Segala pandangan akan diambil kira oleh kami dalam membangunkan kampung ini.

Sila lawati blog ini untuk mendapatkan maklumat terkini.

Sebarang cadangan email ke: kgtelukbatu@gmail.com

Sunday, September 27, 2009

TAKZIAH

27.9.09 (Ahad) - Allahyarham En Saidin (suami Pn Halijah - anak Tok Derani) meninggal dunia di Taman Kelebang Ipoh dan telah selamat dikebumikan.

28.9.09 (Isnin) - Allahyarham En Hashim (Ayah Sharifah/Arshad) telah meninggal dunia di Kg Teluk Batu pada pagi ini dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kg Teluk Batu selepas zohor pada hari ni. Kebetulan baru kelmarin allahyarham menyaksikan majlis pertunangan cucunya yang pertama.

Kami mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan di samping orang-orang yang beriman.

Tuesday, September 22, 2009

SELAMAT BERTUNANG & BERKAHWIN

Suasana hari raya di kampung ini sungguh meriah. Kanak-kanak terutamanya kelihatan sungguh gembira - berpakaian serba baru dan berkunjung dari rumah ke rumah. Masing-masing membanding berapa 'angpau' yang mereka terima. Keadaan kampung menjadi sesak dengan kenderaan penduduk yang pulang dari perantauan. Percikan bunga api dan letupan mercun menggamatkan suasana setiap malam. Ternyata masyarakat kita ramai yang hidup dalam 'kemewahan' kerana berupaya berbelanja besar untuk membeli mercun dan bunga api yang agak mahal juga harganya.

Paa hari raya kedua, satu majlis pertunangan telah diadakan antara En (Cikgu) Alias b Jusoh dengan Cik Jamilah bt Jalil. Kami mengucapkan tahniah kepada kedua mempelai. Difahamkan majlis perkahwinan akan diadakan pada bulan Disember depan. Semoga perhubungan ini akan dirahmati Allah hendaknya.

Pada hari yang sama, satu kenduri akekah juga telah diadakan untuk cucu Tn Imam Ahmad. Selain dari kaum keluarga, jemputan telah dihulurkan kepada sahabat handai.

Pada 26.9.09 (Sabtu) ini pula, akan berlangsung majlis perkahwinan anak En Zakaria Ariffin. Kami mengucapkan selamat pengantin baru.

Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada En Zakaria Ariffin sendiri yang telah melangsungkan perkahwinan dengan Pn (Cikgu) Rahmah Che Teh sebelum bulan puasa yang lalu. Kami mendoakan semoga hubungan ini akan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Friday, September 18, 2009

SELAMAT KEMBALI

Sebuah pintu gerbang telah didirikan atas inisiatif para belia Kg Teluk Batu untuk menyambut anak-anak kampung ini yang mula pulang dari perantauan. Setiap kali Hari Raya, kawasan kampung menjadi 'jam' dengan pelbagai jenis kenderaan. Surau juga menjadi sesak.
Kami mengucapkan terima kasih di atas usaha sambutan yang disediakan oleh para belia terhadap rakan-rakan dan warga perantau yang kembali berhari raya di kampung.
Kami berharap setiap pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati agar perjalanan mereka tidak mendapat halangan. Mereka juga didoakan agar tiba di destinasi dengan selamat.

BUBUR LAMBUK

Hari ini penduduk Kg Teluk Batu mula merasa bubur lambuk yang diedarkan oleh keluarga Allahyarham Ustaz Abu Bakar, seorang guru agama dan bekas imam. Rasanya inilah pertama kali pengedaran bubur lambuk yang sinonim dengan Masjid Kg Baru K.Lumpur, mula memasuki Kg Teluk Batu. Harap-harap budaya ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang setiap kali Ramadan. Tak sempat rasanya nak menunggu waktu berbuka untuk menikmati bubur tersebut.
Kami mengucapkan terima kasih kepada kpd Sdr Hafifi dan Sufian yang telah mengedarkannya dari rumah ke rumah. Terima kasih daun keladi.

Wednesday, September 2, 2009

PAKLONG YANG GIGIH

Paklong Hj Ahmad yang berusia dalam lingkungan 80 an, merupakan warga yang paling tua di Kg Teluk Batu. Namun dia tidak membiarkan usia tuanya itu menjadi bebanan kepada orang lain. Walaupun sering dilarang oleh anak-anak namun ia tidak mempedulikannya.

“Anak-anak tak bagi paklong menoreh. Tapi paklong bukan apa, kalau tak kerja, badan rasa nak demam aje”, kata Paklong. “Tapi mengutip dan hantar ke kedai paklong minta tolong anak buah. Paklong tak larat dah”.

Setiap hari beliau menunggang basikal sejauh 1 km untuk menoreh getah di kebunnya seluas 1 ekar. Kebun getahnya sentiasa kelihatan bersih dan cerah. Ini juga merupakan satu langkah keselamatan dari gangguan binatang buas.

Kegigihan Paklong seharusnya menjadi contoh kepada kita untuk menyara diri dan tidak terlalu berharap kepada orang lain. Selain dari mengekalkan kesihatan yang sempurna, boleh juga menambah pendapatan sara hidup. Malahan dalam bulan Ramadan pun beliau bekerja.

Beliau bersyukur kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Lenggong yang baru-baru ini telah memberinya sedikit perbelanjaan untuk bulan Ramadan. Beliau bersyukur di atas keperihatinan pemimpin terhadap masalah rakyat masa kini.
















Monday, August 17, 2009

SAR DIBESARKAN

Sekolah Agama Rakyat Kg Teluk Batu, Al Madrasatul Ihsahniah sedang mengalami proses menambah bilik darjah. Satu blok baru masih dalam pembinaan dan akan siap tidak lama lagi. Dengan ini bilik darjah akan bertambah dan boleh menambah lebih ramai lagi murid.

SAR Kg Teluk Batu adalah sebuah sekolah yang popular dan diminati ramai. Terdapat kanak-kanak bukan sahaja dari kampung ini, malah dari luar dihantar belajar di sini. Setiap petang suasana kampung menjadi sibuk dengan kenderaan ibubapa datang mengambil anak-anak mereka pulang.

Sunday, August 16, 2009

USAHAWAN BERJAYA

En Abd Majid bin Hj Mat Abas adalah seorang lagi usahawan yang berasal dari kampung ini yang sudah berjaya dalam bidang perniagaan. Setelah berhenti dari perkhidmatan kerajaan, beliau telah memulakan perniagaan bekalan gas secara peruncit kecilan melalui syarikatnya GASMA. Beliau telah membeli sebuah gerai di pekan Lenggong sebagai pusat operasi. Kini beliau juga telah membina sebuah setor penyimpanan gas di atas tanah miliknya.

Dari seorang peruncit kecilan, kini jualan gas hariannya sudah mencecah 100 tong sehari. Beliau telah berusaha untuk mendapatkan taraf pengedar dan permohonannya sudah dimajukan kepada pihak yang berwajib. Jika diluluskan, beliau akan melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh Daerah Hulu Perak. Kami berasa bangga di atas usahanya ini kerana inilah satu-satunya perusahaan yang diusahakan oleh orang Melayu.

Belau merupakan anak Allahyarham Tn Hj Mat Abas Hj Husin, bekas ketua kampung yang dikenali ramai. Semasa allahyarham menjadi ketua kampung, Kg Teluk Batu telah menjadi kampung contoh sebanyak dua kali. Ramai orng luar telah datang untuk melawat kampung ini pada masa itu. Kini anaknya pula muncul sebagai pengusaha yang berjaya dan juga merupakan Ketua Umno Cawangan yang aktif semenjak 10 tahun yang lalu. Syabas kami ucapkan.

PROJEK TERNAKAN KAMBING

“Kampung Teluk Batu suatu hari nanti akan menjadi pusat ternakan kambing dan juga pengeluaran daging kambing yang utama di daerah Hulu Perak.” Itulah hasrat yang dinyatakan oleh pengusaha yang terdiri dari golongan belia dan dewasa yang kini menjalankan perusahaan ternakan kambing pelbagai baka.

Kini terdapat sekumpulan belia dan orang dewasa yang menjalankan 7 projek ternakan kambing. Jumlah keseluruhan peliharaan sudah mencecah hampir 500 ekor. Usaha sedang dibuat untuk menambahkan lagi jumlah ternakan dengan meminta bantuan daripada pihak kerajaan terutamanya RISDA. Permohonan telah dimajukan dan dalam perhatian dan tindakan pihak tersebut.

Azlan bersama Hazamuddin dan Zulkifli telah bersatu tenaga memulakan ternakan dengan membeli beberapa ekor kambing dan diusahakan di atas tanah keluarga semenjak 1 tahun yang lalu. Mereka bermula dengan modal lebih kurang RM2 ribu dan kini memiliki hampir 30 ekor ternakan dari kacukan Aglu Nubian. Mereka mengagihkan masa sebelah pagi untuk menorah getah dan sebelah petangnya memelihara kambing.

“Usaha ini dapat mengisi masa lapang dan pendapatan sampingan serta menghindarkan kami dari membuang masa secara tidak menentu. Kami bercadang untuk membesarkan lagi perusahaan ternakan kami ini” kata mereka. Kini kambing mereka yang terbesar adalah 36 kg tetapi masih belum sesuai untuk dijual.













Kambing sudah menjadi manja dengan tuannya yang setiap hari mendampingi mereka hingga boleh didukung.













Beberapa kandang ternakan oleh pengusaha.

Saturday, August 8, 2009

TAKZIAH DARI PENDUDUK KG TELUK BATU

LUMUT: Seorang pelajar perempuan bersama bapanya yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas sekolahnya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang ditutup akibat penularan jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) terbunuh dalam kemalangan di Batu 11, Segari, di sini, malam kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 malam apabila kereta Proton Saga yang dinaiki dua beranak itu bertembung dengan sebuah lori tangki tanpa muatan. Fatin Nur Izzati, 13, dan bapanya, Ahmad Hasbullah Bakar, 44, yang memandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata ketika kejadian kereta dinaiki dua beranak itu dalam perjalanan ke Seri Manjung untuk pulang ke rumah mereka di Desa Manjung Point Lumut di sini.

"Ahmad Hasbullah dikatakan mengambil anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Syeikh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas sekolah itu ditutup kerana jangkitan H1N1.

"Ketika perjalanan pulang, kereta dinaiki dua beranak itu bertembung dengan sebuah lori tangki menyebabkan mangsa tersepit dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat dari Pantai Remis," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat, manakala pemandu lori yang berumur 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Jenazah kedua-dua mangsa dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Irfan Ahmad Hasbullah, 15, yang ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM) di sini, berkata dia tidak menyangka akan kehilangan dua insan tersayang serentak, lebih-lebih lagi akan menghadapi ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan. Katanya, bapanya sebelum ini bekerja sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Manjung dan pada Jun lalu dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti di Taiping.

(BERITA HARIAN)

Seluruh penduduk Kg Teluk Batu (Kampung asal Allahyarham) mengucapkan takziah kepada keluarganya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh kedua-duanya. Alfatihah.